Cukai industri kecil sederhana dipotong, tingkat kemudahan penjaja

Kerajaan mengumumkan untuk memotong cukai kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengusaha PMKS akan menikmati potongan cukai kerana masih terkesan akibat pandemik Covid 9.

“Sukacita diumumkan, Kerajaan bersetuju mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 150 ribu pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

“Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga 3 ribu ringgit kepada setiap 150 ribu pembayar cukai PMKS,” katanya dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan sebanyak RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibatkan 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menyediakan RM176 juta bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan.

Beliau berkata, menaik taraf premis itu antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

”Saya sering tegaskan apa guna kita mempunyai gedung-gedung besar, tetapi rakyat yang hidupnya berniaga kecil-kecilan tidak diambil peduli.

”Ekonomi rakyat perlu dimartabat, keperluan mereka hendaklah dipenuhi. Negara sudah cukup berselirat dan terkenal dengan projek mega dan 16 mercu tanda, tetapi saya juga mahukan negara terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Belanjawan ini adalah belanjawan sulung Anwar sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November tahun lalu.

Pada 20 Disember lalu, Anwar sudah membentangkan ‘Bajet Mini’ bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107.7 bilion.

BACA JUGA Belanjawan Madani 2023: Peruntuk RM388.1 bilion, tumpu basmi kemiskinan – PM