Dr Mujahid soroti kenangan terakhir bersama Prof Kamal Hasan

Allahyarham Tan Sri Profesor Kamal Hasan adalah seorang yang tawadhu’, sangat beradab dan lembut bahasa serta intonasinya.

Malah beliau tidak mahu digelar Tan Sri kemana ia pergi, sebaliknya lebih gemar dipanggil sebagai Profesor atau Doktor sahaja.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menzahirkan pemergian Allahyarham adalah layak gaya seorang intelek, alim yang ditangisi kerana permata ilmunya, adab dan dedikasinya berkhidmat untuk ilmu sehingga akhir hayatnya.

 

Pertemuan Dr Mujahid dan Hasanudin dengan Prof Kamal dan lain-lain berlangsung di IKIM menjelang PRU 15 lalu.

“Beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-15 saya sempat bertemu beliau di pejabatnya di IKIM. Pertemuan bersama sahabat saya Datuk Hasanudin Yunus tercetus atas inisiatif yang kami gerakkan iaitu Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB)

“Walaupun kelihatan uzur, beliau tetap menggagahkan dirinya di hadapan tetamu. Terasa amat kerdil di depan tokoh muslim yang hebat kerana sejak di bangku sekolah menengah lagi saya sempat membaca artikel ringkas ilmiah beliau yang dilanggani ayahanda saya melalui Risalah ABIM.

“Masih ingat semasa saya menjawat jawatan Menteri (2018-2020) Profesor Kamal Hasan dengan penuh rendah diri mengunjungi saya untuk mendapatkan maklumat tentang gagasan Rahmatan Lil Alamin. Beliau mempunyai beberapa komen yang hendak diajukan. Namun begitu sifatnya sebagai ahli akademik tidak seperti orang lain,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi PH Perak.

Menurut Mujahid lagi, Profesor Kamal begitu rendah diri dengan gaya bahasanya dan nadanya yang sangat bersantun.

Keduanya beliau mahu mendalami tulisan-tulisan tentang gagasan ini untuk memahaminya dari perspektif siasah atau dasar kerajaan.

Tambahnya, pertemuan beliau di IKIM pada tahun 2022 memudahkan perbincangan kerana telah bertemu berkat Rahmatan Lil Alamin pada tahun 2019 yang menjadi dasar pentadbiran Islam sebelum ini.

Tegasnya, perbincangan berkisar tentang maruah, korupsi dan kepimpinan Melayu yang hilang moral kompasnya.

Beliau prihatin terhadap tajuk-tajuk ini dan lebih menggembirakan apabila beliau memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif IKIM supaya isu maruah sentiasa dimasukkan dalam program-program IKIM sebagai nilai penting.

Mujahid yang juga merupakan Pengerusi Nadwah Ulama (NUNJI) turut berkata, ketika nama Profesor Kamal dicadangkan sebagai penasihat kepada inisiatif ini, dengan penuh adab beliau menyatakan keuzuran yang dialaminya kerap menghalang pergerakan beliau. Namun begitu, ia menyokong usaha Melayu Bermaruah dikembangkan.

Kata Mujahid lagi, Profesor Kamal turut memaklumkan mengenai peluncuran bukunya bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam politik Melayu’ yang akan berlangsung di Karangkraf Shah Alam dimana peluncurannya disempurnakan oleh Paduka Tuanku, Sultan Perak.

Yang menariknya buku ini jelas Mujahid, ia sarat dengan ayat Al-Quran dan hadis serta menempelak perasuah dan pengkhianat bangsa dan mengkritik kepimpinan bangsanya yang telah hilang maruah dan jatidiri untuk menjadi bangsa yang dihormati.

Di samping itu katanya lagi, Profesor Kamal juga cermat dalam kemarahannya melalui adab penulisan yang intelek dan disokong oleh dalil dari Al-Quran serta hadis As-Sharif.

Â