Iltizam noktahkan miskin tegar, bantu 130,000 rakyat paling susah
Kerajaan berilitizam menoktahkan kemiskinan tegar dengan kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu itu melalui langkah yang lebih menyeluruh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.
“Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR,” katanya dalam Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata beberapa pendekatan baharu akan dilaksana untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.
Berikut bentuk pelaksanaan IPR:
● Bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.
● Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.
● Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan kini membayar bantuan kebajikan bernilai RM2.5 bilion kepada lebih 400,000 penerima.
“Bagi menyegerakan data dikemaskinikan dan memastikan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan, Kerajaan akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan kerajaan antara ICU dan JKM di bawah satu pangkalan data,” katanya.
BACA JUGA: Kerajaan salur RM100 juta bantu jayakan program Jualan Rahmah seluruh negara