Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima STR
Perdana Menteri mengumumkan bahawa isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.
Menurutnya, pembaharuan itu diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR.
Dalam masa sama, kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.
Sumbangan tersebut akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.
“Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan hingga maksimum RM3,100,” katanya.
Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup 8.7 juta penerima membabitkan peruntukan hampir RM8 bilion.
“Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40 tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR sudah memanfaatkan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa negara ini,” katanya.
Sementara itu, bagi dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun pula, kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 membabitkan peruntukan RM400 juta.
BACA JUGA Cukai barang mewah diperkenal, tidak cadang laksana semula GST
Â