Kamil Othman dilantik Pengerusi FINAS baharu – Menteri
Bekas pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dilantik sebagai pengerusi baharu perbadanan itu, umum Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata Kamil merupakan tokoh tidak asing dalam industri perfilemen kerana pernah memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) FINAS sebelum ini.
“Tahniah buat Datuk Kamil Othman atas lantikan sebagai Pengerusi FINAS yang baharu. Datuk Kamil Othman tidak asing dalam industri, pernah menjawat tugas CEO FINAS,” katanya.
Fahmi berkata minggu hadapan beliau akan atur pertemuan untuk membincangkan beberapa perkara termasuk halatuju FINAS serta meneliti dapatan dan teguran laporan Ketua Audit Negara untuk penambahbaikan dan pembetulan.
“Insya-Allah Pengerusi Skim Wajib Tayang FINAS akan dilantik secepat mungkin,” katanya.
Kamil menggantikan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang telah menamatkan perkhidmatannya pada Disember tahun lalu.
Beliau juga pernah menjadi penasihat industri kreatif kementerian dari Januari 2017 hingga Ogos 2018 selain menjawat pengarah FINAS dari tahun 2014 hingga 2016.
BACA JUGA: Tiada tapisan, pengklasifikasian kandungan dalam aplikasi pemesejan segera
Â