Permintaan para doktor kontrak dalam perhatian Dr Zaliha

Ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, Dr Zaliha Mustafa berkata kementeriannya akan memperhalusi permintaan para doktor kontrak yang menginginkan penambahbaikan laluan kerjaya mereka.

Dr Zaliha berkata, berpegang kepada teras ihsan dan hormat dalam kerangka #MalaysiaMADANI, suara dan pandangan para doktor sebagai pemegang taruh penting dalam sektor ini akan terus diperkukuhkan.

Semasa sesi pertemuan townhall bersama 350 pegawai perubatan, beberapa cadangan daripada anggota perubatan telah pun diperoleh antaranya tentang isu doktor kontrak, penambahbaikan fasiliti awam, kekurangan doktor di jabatan kecemasan dan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan

Kata Dr Zaliha, KKM telah menyediakan pelbagai saluran bagi membolehkan anggota perubatan ini mengemukakan sebarang permasalahan yang dihadapi antaranya melalui program mentor-mentee; sesi kaunseling; menyediakan portal MyHelp; dan melaksanakan kolaboratif strategik bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi memperinci saluran aduan yang diwujudkan.

Selain itu, beliau juga memberi jaminan bahawa kertas putih kesihatan akan dibentangkan dalam masa terdekat yang antara teras strategiknya merangkumi pembiayaan penjagaan kesihatan mampan; mengukuhkan perlindungan risiko kewangan; menggariskan kekangan dihadapi sistem kesihatan negara dan memberi cadangan penyelesaian berkait reformasi sistem kesihatan dan tadbir urus perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, KKM juga telah mengatur 7 pelan inisatif bagi mengurangi kesesakan di hospital dan masa menunggu pesakit dalam mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasa

Ini kata Dr Zaliha sebagai tanda kerajaan memahami kesulitan yang dialami oleh para pesakit dan petugas kesihatan yang sentiasa bekerja keras untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Antara pelan tersebut termasuklah melakukan pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada; melaksanakan Lean Healthcare untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan waktu menunggu untuk berjumpa doktor; dan melaksanakan short stay ward bagi pesakit stabil.

Baca juga: SPRM gagal patuhi protokol sebelum siasat Hakim Mohd Nazlan – Mahkamah Tinggi