RM2.3 bilion pastikan kemudahan pembelajaran terbaik

Sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.

Dana tersebut sebahagian daripada peruntukan tertinggi yang diterima oleh Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu sebanyak RM55.2 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 380 buah sekolah yang daif sama ada bangunan serta infrastruktur khususnya di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf segera melalui kaedah perolehan khas.

Selain itu, peruntukan RM900 juta untuk kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, Cina dan Tamil.

Agihan dana itu turut termasuk bagi kerja seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama serta kelas yang uzur.

Dalam masa sama, sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

“Bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada RM625 juta kepada RM777 juta tahun ini yang memanfaatkan 700,000 murid,” katanya.

BACA JUGA Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima STR