Runding terus ditender semula, kerajaan jimat RM3 bilion

Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek runding terus amalan kerajaan yang lepas menyebabkan berlaku pembaziran kewangan negara.

Oleh itu, beliau memutuskan untuk membatalkan beberapa projek runding terus dan melaksanakan tender terbuka bagi projek yang belum dilaksanakan.

“Pelaksanaan perolehan Kerajaan misalnya, mesti telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik. Tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.

“Faktanya, projek tebatan banjir 15 bilion ringgit dan Jana Wibawa RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.

“Setelah sebilangannya ditender semula secara telus, negara dijangka boleh jimat sehingga RM3 bilion. Penjimatan besar seperti
ini akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Anwar, kerajaan juga akan segera membentangkan Akta Perolehan Kerajaan agar urusan tender menjadi lebih telus dan tidak boleh lagi dimanipulasi oleh menteri atau mana mana kerajaan pada masa hadapan.

“Kerajaan pada 2019 telah mencadangkan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan di Dewan ini, namun telah ditangguhkan sewaktu pentadbiran Kerajaan lalu. Kerajaan Perpaduan bercadang untuk membentangkan Akta ini segera,” katanya.

Bersama akta berkenaan, tegas Anwar satu lagi akta iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dibawa ke Dewan Rakyat bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar menuai hasil.

BACA JUGA Cukai barang mewah diperkenal, tidak cadang laksana semula GST

Â