Selepas dua dekad Anwar bentang Belanjawan Madani, islah ekonomi negara

Setelah 25 tahun – lebih dua dekad, suasana itu bagaikan diimbau apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Kali terakhir beliau membentang belanjawan ialah pada 17 Oktober 1997 iaitu Belanjawan 1998, setahun sebelum pemecatannya daripada Kabinet dan UMNO hingga mencetuskan gelombang reformasi.

Belanjawan 2023 merupakan kali pertama dibentangkan ketika Anwar menjadi Perdana Menteri dan kali kelapan ketika menjawat Menteri Kewangan pada tahun 1991 sehingga 1997 dan tahun ini.

Tampil sejak dengan berbaju Melayu biru lembut – melambangkan kebersihan dan ketulusan, Anwar dengan penuh tenaga membentangkan Belanjawan Madani yang berlangsung kira-kira dua jam.

Anwar memilih memulakan ucapannya dengan memetik ayat al-Quran dari Surah Yusuf: 55 yang memberikan gambaran betapa besar cabaran bakal dihadapi ekoran jangkaan kemelesetan ekonomi global.

Situasi sama juga berlaku ketika Anwar membentangkan Belanjawan pada tahun 1997 ketika Malaysia menerima tempias daripada krisis kewangan Asia.

Pembentangan bajet oleh Anwar sering mencuri tumpuan ekoran perbendaharaan bahasa yang cukup indah dan kefasihannya.

Ini termasuk ucapannya yang memetik surat Khalifah Ali Abu Thalib kepada Gabenor Mesir, Malik Ashtar:

“…dan adakalanya timbul pelbagai kesulitan yang bila kau tunjukkan jalan keluar kepada mereka, nescaya mereka akan menerimanya.

“Kesejahteraan mereka pasti mampu meringankan beban yang kau pikul, sebaliknya kehancuran negeri selalunya dari kerakusan para penguasa yang menumpuk kekayaan”.

Saidina Ali memang terkenal dengan kefasihannya sebagaimana ditampilkan dalam koleksi ucapannya, Nahjul Balaghah.

Anwar turut terus tegar dengan idealismenya menentang rasuah apabila kandungan pembentangannya acap kali mengingatkan tentang amalan pembaziran dan rasuah mesti ditinggalkan.

“Maka, saya memilih untuk membentangkan kerangka belanjawan yang berteraskan semangat islah dengan maksud mempaculkan pengarahan baharu lagi segar, lantas membenam purbasangka yang kononnya kita masih cenderung mempertahankan status quo serta kepentingan golongan mahakaya,” tegasnya.

Ucapannya itu turut diselit dengan kata-kata penyair dan ahli falsafah Rabindranath Tagore;

“Malam sudah berakhir. Padamkan lampu di sudut sempitmu yang dikotori jelaga. Pagi yang agong untuk semua terbit di Timur, biar cahayanya menerangi jalan kita yang bermakna.”

Terdahulu Perdana Menteri pada 20 Disember lalu telah membentangkan peruntukan khas (bajet mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107.7 bilion.

Kerajaan PM ke-9, Ismail Sabri sudah membentangkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 7 Oktober 2022.

Jumlah itu adalah peningkatan mendadak berbanding peruntukan Belanjawan 2022 sebanyak RM332 bilion dan RM322 bilion dalam Belanjawan 2021.

Pembentangan Belanjawan Malaysia Madani hari ini dilakukan ketika negara diasak hutang dan liabiliti mencecah RM1.5 trilion selain peningkatan inflasi dan jangkaan kelembapan ekonomi global.

Pada masa ini juga, hutang negara mencapai 61 peratus daripada KDNK.

BACA JUGA: Belanjawan Madani 2023: Peruntuk RM388.1 bilion, tumpu basmi kemiskinan – PM