Baik pulih Lapangan Terbang Subang selaras Rancangan Selangor 1 – MB

Cadangan kerajaan untuk membaik pulih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey, Kuala Langat dalam Belanjawan Madani 2023 selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata cadangan baik pulih Lapangan Terbang Subang itu merupakan permintaan dan usaha sekian lama kerajaan Selangor demi memberi manfaat kepada semua termasuk pelancong.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengemukakan perancangan tersebut kepada Kementerian Kewangan dan Pengangkutan.

“Belanjawan dibentang menyantuni semua pihak termasuk kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) walaupun daripada awal Perdana Menteri membangkitkan tentang beberapa limitasi seperti kadar hutang dan pergerakan ekonomi agak perlahan.

“Namun, saya percaya selain projek kebajikan, beliau juga tumpu kepada peningkatan projek infrastruktur dan baik pulih kemudahan pengangkutan awam seperti lapangan terbang.

“Naik taraf Lapangan Terbang Subang dan cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey selaras dengan apa yang kita bangkitkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen semalam, lapor Selangorkini.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata pihaknya turut menyambut baik cadangan pembinaan sekolah baharu dan projek tebatan banjir iaitu pembinaan kolam takungan dwifungsi.

“Seperti pembinaan sekolah, ia penting kerana kita berdepan dengan masalah kesesakan di sekolah yang agak kritikal dan harap ia disegerakan selain pemberian komputer riba sudah pasti membantu proses digitalisasi pendidikan negara.

“Saya juga mengalu-alukan keterjaminan makanan dan pendidikan serta latihan teknikal vokasional (TVET) yang akan menjadi tumpuan dalam perbahasan nanti,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan bercadang untuk membesar dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang bagi menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancongan.

Penumpang memasukkan bagasi ke dalam mesin pengimbas ketika membuat proses mendaftar masuk di Lapangan Terbang Subang pada 6 Februari 2023. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH/HARAPAN DAILY

Pada 6 Februari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang akan mengalami transformasi strategik menyeluruh sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan bisnes yang digemari di rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata LTSAAS juga bakal menjadi lapangan terbang bandar raya atau city airport dengan kapasiti maksimum lapan juta penumpang setahun.

Beliau mengumumkan pelan pembangunan semula lapangan terbang (SARP) itu telah disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berasaskan hala tuju kerajaan yang akan dilaksanakan.

“Pada 2 Februari lalu saya telah bentangkan SARP kepada Jemaah Menteri dan cadangan pembangunan itu telah mendapat kelulusan secara prinsip dengan mengambil kira pertimbangan teliti,” katanya.

BACA JUGA: Lapangan Terbang Subang bakal jadi hab penerbangan serantau, city airport