FELDA: Lupus hutang peneroka RM8.3 bilion sudah selesai dilaksana
Pelupusan sebahagian hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion daripada RM12.1 bilion tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.
Pengerusinya Tan Sri Idris Jusoh berkata pelupusan hutang RM8.3 bilion tersebut telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.
“Semua peneroka yang menandatangani pelupusan hutang tersebut telah menikmati manfaat bayaran kembali pinjaman jauh lebih rendah dan mampu bayar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau mengulas laporan media mengenai pelupusan hutang FELDA hasil jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kepada soalan Ahli Parlimen Kuala Krau di Dewan Rakyat.
Pada pentadbiran terdahulu pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda keseluruhannya bernilai RM8 bilion.
Ini termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka), dan modal pembangunan (6,711 peneroka).
Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pelupusan itu mengurangkan beban pinjaman kepada peneroka sebanyak 80 peratus.
Idris memberitahu buat masa ini FELDA tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan keputusan berbuat demikian bagi kali pertama pada 2021 memberi impak besar kepada aliran tunai lembaga itu.
“Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan FELDA terus menjaga kebajikan warga peneroka,” ujarnya.
Pada masa sama kata Idris, FELDa tetap komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan golongan itu.
Katanya FELDA juga akan memastikan hutang peneroka tidak terus meningkat.
“Komitmen ini telah terbukti apabila tahun 2022, purata produktiviti ladang peneroka telah meningkat sehingga 19.43 tan perhektar setahun berbanding 17.29 tan perhektar mewakili peningkatan 12 peratus.
“Ini sekali gus akan memberikan pulangan pendapatan lebih tinggi kepada warga peneroka FELDA,” katanya.
BACA JUGA: Felda salur bantuan musim tengkujuh RM9.7 juta
Â