Hadi tuduh orang Islam risau lihat replika senjata sebagai ‘jahil murakkab’

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa orang Islam yang berasa risau melihat replika senjata sebagai golongan yang ‘jahil murakkab’ atau sangat jahil.

Beliau yang dilihat sebagai mempertahankan perarakan Pemuda Pas Marang membawa replika senjata di Setiu baru-baru mempersoalkan adakah umat Islam dilarang membawa pedang kayu.

“Maka, jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab.

“Adapun buruk sangka daripada kalangan bukan Islam dan munafiq terhadap perkara tersebut, biarkan ia musnah dengan kemarahan yang melulu itu..,” katanya dalam kenyataan Minda Presiden pada Jumaat.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengaitkan tentang larangan membawa senjata dengan tindakan dilakukan ketika zaman penjajah yang didakwa mengharamkan sebarang senjata kepada penganut Islam.

“Ketika penjajah dahulu datang menceroboh dengan senjata moden untuk menakluk tanah air umat Islam seluruh pelosok dunia, umat Islam tidak menyerah kalah sekali-kali.

“Malah, mereka melawan dengan apa sahaja yang ada di tangan. Maka, penjajah menguatkuasakan undang-undang bagi mengharamkan sebarang senjata kepada penganut Islam,” ujarnya.

Dakwa Abdul Hadi, puak penjajah dibolehkan memiliki semua senjata, termasuklah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa yang dicipta oleh mereka sendiri.

“Hakikatnya, undang-undang ini laksana sarang labah-labah yang boleh dikoyakkan oleh mereka, tujuannya hanyalah untuk menghalang penentangan terhadap penjajah yang dilakukan oleh umat Islam dengan gagah berani tanpa menyerah kalah.

“Begitulah yang dilakukan di Palestin ketika dijajah British supaya mereka menyerahkan tanah air kepada Yahudi Zionis mengikut terma dalam Perjanjian Balfour 1917. Mereka sendiri dalam keadaan bersenjata, tetapi sebaliknya rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata,” katanya.

Justeru itu, Abdul Hadi berkata penjajah menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan senjata, sehinggalah kepada senjata yang paling kuno, seperti pedang, keris dan lain-lain.

“Alasan yang digunakan kononnya bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan, pada masa yang sama mereka mengganas terhadap rakyat dengan semua senjata yang dimiliki.

“Maka, jelas sekali bahawa alasan menjaga keselamatan itu hanyalah untuk diri mereka sahaja, tidak bagi umat Islam,” katanya.

Abdul Hadi mendakwa pada zaman penjajah dahulu, polis Melayu diberikan senjata belantan kayu manakala polis berbangsa Inggeris pula diberikan pistol.

“Walaupun Islam menggalakkan dan mendahulukan perdamaian, namun Allah SWT dan Rasulullah SAW mewajibkan penganut Islam agar sentiasa bersiap siaga dengan senjata yang sesuai pada zaman dan cabarannya.

“Hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat,” katanya.

Abdul Hadi menyatakan terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf.

“Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam,” katanya.

BACA JUGA: KDN beri amaran, perarakan replika senjata timbul kegusaran awam – Menteri