Jelajah Ehsan Rakyat: 1,000 ekor ayam, barangan asas habis dijual di Hulu Kelang

Sebanyak 1,000 ekor ayam dan barangan keperluan asas makanan lain habis dijual dalam program Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Taman Melawati, Hulu Kelang hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungip berkata barangan makanan yang dijual pada kadar harga lebih murah itu habis dibeli orang ramai sebelum pukul 12 tengah hari.

“Jualan jimat Jelajah Ehsan Rakyat pagi ini di Taman Melawati sempena Program Jelajah Kita Selangor anjuran Kerajaan Negeri Selangor.

“Alhamdulillah 1,000 ekor ayam segar dan barangan keperluan asas makanan yang lain habis sebelum jam 12 tengah hari. Insya-Allah kami akan maklumkan tarikh seterusnya dalam waktu terdekat. Terima kasih kepada semua penduduk yang hadir,” kata beliau dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Bekalan ayam segar dan beras antara barangan yang dijual dalam Jelajah Ehsan Rakyat di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Hulu Kelang pada 25 Februari 2023. Foto FB Saari Sungip

Terdahulu Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Program Jelajah Kita Selangor Penyayang di Tapak Bazar Ramadan, Taman Melawati.

Program tersebut berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

JER yang dibawa oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut melakukan jualan di lapan lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu depan Masjid Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sungai Air Tawar; Musalla BSP, Semenyih; Surau Nurul Iman, Taman Cuepacs Kajang; Lotus Orchid dan Taman Puchong Prima, Seri Serdang.

Bekalan ayam segar yang dijual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di MPKK Padang Jawa, DUN Batu Tiga pada 25 Februari 2023. Foto FB Rodziah Ismail

Jualan juga diadakan di kawasan SRA Taman Dato Harun, Taman Medan; Taman Rimba Hillpark, Paya Jaras; Dewan MPKK Padang Jawa, Petaling dan belakang Hotel De Plama, Seksyen 19, Shah Alam (DUN Batu Tiga).

Jualan tersebut melibatkan barangan seperti ayam segar yang dijual pada kadar harga RM10 sekor, ikan kembung (RM6 satu pek), daging pejal (RM10 satu pek), telur (RM10 sepapan), beras (RM10 sekampit) dan minyak masak (RM25 sebotol 5kg).

BACA JUGA: Jelajah Ehsan Rakyat bantu ringankan beban peningkatan harga

Â