Royalti minyak: Apa yang kamu buat masa perintah 33 bulan

Pemimpin Pas kini dipersoal apa yang mereka buat ketika sembilan pemimpin mereka menjadi menteri dan timbalan menteri Kerajaan Pusat bagi memastikan kerajaan negeri Kelantan mendapat royalti minyak.

Ini kerana, semasa 33 bulan parti itu berada dalam Kerajaan Pusatlah, keputusan memberikan royalti kepada kerajaan negeri Kelantan oleh Kerajaan Pakatan Harapan ditukar kepada Wang Ehsan.

“Menteri dan Timbalan Menteri dari Kelantan aje ada 9 orang. Sekarang MP Pas dan walaun terjerit salahkan orang lain,” kata seorang aktivis media sosial ketika mengulas ucapan dan kecaman pemimpin Pas dan penyokong mereka terhadap kenyataan kerajaan mengenai royalti minyak Kelantan.

Perjuangan untuk mendapatkan Royalti Minyak untuk Kelantan telah berjalan sejak Kelantan dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz lagi. Ia dipimpin oleh Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri Kelantan ketika itu.

Pada 25 November 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau yang mewakili kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkata ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

“Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan,” katanya.

Sebagaimana Tengku Zafrul, Azalina juga berkata, Kelantan tidak layak mendapat royalti minyak.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mengumumkan, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Ini kerana, kata beliau, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

“Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Azalina menjawab soalan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyalurkan hasil minyak “secara terus” kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu “seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN”.

Bayaran yang dirujuk oleh Muhyiddin itu ialah wang RM200 juta yang diberikan kepada kerajaan Kelantan masing-masing pada 2020 dan 2021.

Ketika PH memerintah negara selama 22 bulan, Kelantan mendapat bayaran RM400 juta sebagai royalti minyak.

Menjelang PRU-15 lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kelantan akan menerima royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada hasil pengeluaran minyak sekiranya PN diberi mandat penuh rakyat untuk menerajui negara 19 November lalu.

Katanya, perkara itu berdasarkan akujanji yang dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu.

“Perkara itu sudah diumumkan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sekiranya diberi mandat penuh oleh rakyat. Pengerusi PN sebut kita akan pastikan isu royalti kepada Kelantan diselesaikan segera,” katanya.

 

BACA JUGA Haji Hadi tuduh orang Islam risau lihat replika senjata sebagai ‘jahil murakkab’