Selangor perluas Skim Smart Sewa, bantu golongan susah miliki rumah

Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk memperluaskan inisiatif Skim Smart Sewa bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang mampu dapat memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi tujuan itu pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam masa terdekat bagi meneliti perkara itu.

”Saya akan bincang dengan KPKT untuk menilai semula perumahan mereka di Selangor supaya skim ini boleh kita lanjutkan dan dikembangkan di perumahan kos rendah yang lain.

“Setakat ini, untuk program Smart Sewa kita mempunyai 1,000 rumah meliputi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pelbagai rumah yang kita telah diperoleh daripada pemaju.

“Secara keseluruhannya 80 peratus (kediaman) telah dipenuhi. Ini bermakna terdapat 800 keluarga pada ketika ini telah mengikuti program Smart Sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Kita Selangor Penyayang di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati, Hulu Kelang hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim dan Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz.

Amirudin bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad beramah mesra dengan orang ramai ketika bersarapan pagi di Warung Nasi Lemak Ajis, Taman Melawati, Hulu Kelang pada 25 Februari 2023. Terdahulu Menteri Besar solat Subuh berjemaah di Masjid Al Mardhiyah, Taman Melawati. Foto FB Amirudin Shari

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, skim tersebut mempunyai prestasi baik termasuk daripada aspek kutipan sewa yang mencecah sehingga 95 peratus walaupun ketika pandemik.

Kerajaaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa to Ownership (2STAY) dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor 2020. Konsepnya mudah – boleh sewa rumah dahulu, putuskan beli kemudian hari.

Bagi warga Selangor yang dalam julat pendapatan B40 khususnya kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan memiliki rumah, peserta program akan melalui dua fasa iaitu tempoh penyewaan di bawah Skim Smart Sewa (2 – 5 tahun) dan tempoh pemilikan di bawah ‘Rent to Own’.

Selepas tempoh penyewaan tamat, penyewa akan diberikan pilihan sama ada untuk membeli/memiliki rumah tersebut atau sebaliknya.

Sekiranya penyewa pilih untuk tidak membeli, penyewa perlu berpindah keluar dan dapat balik 30 peratus jumlah bayaran sewa yang terkumpul sepanjang tempoh sewaan di bawah Skim Smart Sewa tersebut.

Untuk penyewa yang pilih untuk membeli, 30 peratus itu akan dijadikan sebagai bayaran deposit pembelian rumah tersebut di bawah Skim Sewa Milik (Rent to Own).

Bakinya dijelaskan secara bayaran ansuran bulanan selama tempoh yang akan ditetapkan kelak. Jangkaan harga jualan rumah tersebut adalah pada harga tidak melebihi RM200,000 seunit.

BACA JUGA: Belanjawan Madani 2023 pastikan semua rakyat terbela – MB Selangor