Kerajaan Perpaduan utamakan kebajikan tentera

Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin menyaksikan kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diutamakan.

Kementerian Pertahanan diperuntukkan sejumlah RM17.7 bilion dengan keutamaan peruntukan tersebut adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset ATM bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan.

Malah, kerajaan akan melaksanakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam memastikan mereka terbabit disediakan pekerjaan dan kemudahan latihan.

Mengulas peruntukan serta pelbagai inisiatif terbabit, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan memperuntukkan 70 ekar tanah milik syarikat bagi menjayakan Program Kerjaya Kedua kepada veteran ATM.

“Kumpulan LTAT dan rakan strategik yang lain juga akan bekerjasama menyediakan latihan yang komprehensif untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan, sekali gus memberi perlindungan sosial yang diperlukan veteran,” dipetik Bernama.

Sementara itu, Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, fokus harus beralih kepada penyelenggaraan aset pertahanan sedia ada.

Beliau berpendapat tiadanya lonjakan besar diterima Kementerian Pertahanan menerusi belanjawan kali ini tidak mengejutkan memandangkan kos yang sangat tinggi untuk membeli aset pertahanan baharu ketika keadaan ekonomi negara belum benar-benar baik.

“Aset lama misalnya yang berusia lebih 20 tahun sekali pun kalau dijaga baik, masih dapat berfungsi dengan elok.

“Bagaimanapun, harapan saya adalah apabila sumber ekonomi negara sudah semakin stabil dan pulih di masa hadapan, kerajaan akan menggantikan segera aset sedia ada agar seiring dengan negara-negara jiran kita,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2023, sebanyak RM4.1 bilion diperuntukkan bagi menyelenggara dan membeli aset-aset ATM.

Anwar juga mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga ATM yang lapuk selain membina 7,000 unit rumah mampu milik di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), bagi membantu pemilikan rumah kepada anggota ATM secara berfasa.

 

BACA JUGA FELDA: Lupus hutang peneroka RM8.3 bilion sudah selesai dilaksana