Ketua Penerangan PKR jadi ejen kerajaan negeri bantu rakyat

Ketua-ketua Penerangan Cabang PKR Selangor akan dilatih dan diperkasa untuk menjadi ejen penyampaian terbaik yang bertujuan untuk mempertingkatkan penerangan dasar dan program Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, aspek penerangan merupakan salah satu kelemahan yang dilihat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dan ianya akan diatasi.

“Saya akan turun ke Cabang-Cabang atau kawasan DUN untuk melihat sendiri Ketua Penerangan bercakap dalam program Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Kalau cerita fasal ISP ini pun ramai tidak tahu (antaranya) Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Program Iltizam Anak Selangor, Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan sebagainya.

“Tugas kita adalah ejen kepada kerajaan negeri Selangor dan kalau ini tidak boleh hafal, amat menyedihkan,” katanya di Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, di Kelana Jaya, hari ini.

Halimey (empat kanan) dan Fahmi Fadzil (tengah) serta anggota penerangan PKR.

 

Dalam pada itu, beliau sudah merancang untuk ke beberapa kawasan dalam masa terdekat untuk melihat sendiri sesi penerangan mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan negeri dapat disampaikan kepada masyarakat dengan baik.

Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti akan menjadi lebih sukar jika rakyat masih lagi tidak mengetahui kewujudan pelbagai program yang boleh dinikmati oleh mereka sendiri.

“Kita (PH) menang 2008 sehingga hari ini adalah kerana ‘jualan’ atau ‘produk-produk’ yang kita (kerajaan negeri Selangor) keluarkan.

“Kalau tiada ‘produk’ ini bermakna rakyat tidak tahu. Jadi, pastikan boleh lakukan yang terbaik di kawasan masing-masing untuk menyampaikannya,” tegas Halimey lagi.

Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang bermula Julai 2022 adalah kesinambungan polisi dan program kerajaan negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat melalui manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan dalam membantu meringankan beban rakyat.

Malah, terdapat 44 program menerusi ISP ditawarkan kerajaan negeri yang melibatkan pelbagai bantuan seperti akses kesihatan, keusahawanan, belia, kos sara hidup dan sebagainya.

BACA JUGA PKR mantapkan jentera penerangan untuk PRN Selangor