Perkasa pemegang taruh sistem pendidikan, tingkat kemudahan sekolah
Oleh TAQIYUDDIN AMINI ABDUL SATAR
Rakyat amat menantikan pembentangan Belanjawan Madani 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bagi Kementerian Pendidikan di bawah Menterinya Fadhlina Sidek.
Kementerian Pendidikan tetap menerima tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion (2022:RM52.6 bilion), kenaikan sebanyak hampir RM3 bilion berbanding tahun 2022.
Ianya masih peruntukan terbesar bagi Bajet Madani. Ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan menyedari pendidikan adalah hak setiap insan yang lahir kedunia ini dan beriltizam melahirkan komitmen yang jitu untuk memastikan pendidikan anak bangsa terus terpelihara bahkan diperkasa.
Ini untuk memastikan nasib bangsa Malaysia ini tidak miskin ilmu, akal budi, hartabenda dan cita-cita.
Kebajikan guru-guru juga terus dijaga dan dibela kerana guru adalah komponen penting MALAYSIA MADANI dalam merealisasikan aspirasi Menteri Pendidikan iaitu Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera.
Ini dengan mengulangi komitmen Kerajaan untuk membekalkan sekolah dan institusi Pendidikan KPM dengan 50,000 komputer riba dan memastikan ia harus diselesaikan dalam suku ketiga tahun 2023.
Ini akan membantu penyampaian pendidikan yang produktif untuk seiring dengan kemajuan teknologi.
Barangkali untuk belanjawan tahun mendatang, perlu diperuntukan khas untuk meningkatkan kemudahan bagi bilik-bilik dan kemudahan lain untuk guru termasuk penggantian kerusi, meja, almari dan komputer riba.
Seluruh ibu bapa dan penjaga murid-murid tentunya bergembira kerana sebahagian besarnya telah pun menerima “durian runtuh” Bantuan Awal Persekolahan (BAP) seawal Januari lepas.
Bukan sahaja kadar BAP dinaikkan dari RM100 tetapi RM150 seorang murid malahan tiada lagi terhad kepada ibubapa penjaga berpendapatan RM3,000 dan ke bawah bahkan untuk semua ibu bapa tanpa tanpa mengira pendapatan.
Pemberian Fasa ke-2 dijangka diberikan sebaik pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 ini.
Program Rancangan Makanan Tambahan juga ditambah baik dengan penambahan bajet daripada RM625 juta kepada RM777 juta. Ini memberi manfaat kepada 700,000 murid.
Komitmen kerajaan untuk memastikan pemantauan kepada pembekal-pembekal adalah amat dialu-alukan bagi memastikan makanan yang disediakan itu berkhasiat, selamat dan berkualiti.
Infrastruktur
Kita sering mendengar cerita sekolah yang daif dan sekolah yang mempunyai kemudahan yang tidak mencukupi sehingga membuat kutipan derma untuk tujuan membantu sekolah memenuhi keperluan dan kemudahan murid-murid.
Justeru itu, Bajet Madani 2023 kekal memperuntukkan RM2.3 bilion untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah buat anak-anak.
Dalam belanjawan yang dibentangkan Oktober 2022, diperincikan dari jumlah tersebut RM1.1 bilion adalah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah manakala RM1.2 bilion adalah untuk pembaikan sekolah daif seperti menggantikan bangunan kayu lama terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Pada Belanjawan Madani 2023 ini, peruntukan RM2.3 bilion ini disasarkan meliputi naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui perolehan khas untuk kesegeraan.
Ia turut melibatkan kerja penyelenggaraan kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang using dan uzur.
Kemudahan bagi murid berkeperluan khas OKU juga akan dipertingkat serta pembinaan dewan terbuka bagi keselesaan anak-anak berhimpun yang juga boleh berfungsi untuk pelbagai acara termasuk sukan “indoor”.
Bagaimanapun, jumlah ini amat sedikit berbanding keperluan sebenar yang dianggarkan sebanyak RM15.08 bilion meliputi 73 sekolah daif skala 7 dan 1,238 sekolah daif skala 6.
Peranan PIBG
Kementerian Pendidikan perlu membuka ruang untuk pihak ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan serta syarikat swasta membantu sekolah dalam membaiki prasarana dan kemudahan murid dengan menyediakan insentif cukai yang menarik.
Sudah sampai masanya kerajaan mengambil inisiatif memperkasakan pemegang taruh utama sistem pendidikan seperti PIBG dengan memberikan insentif percukaian kepada ibu bapa, guru mahu pun pihak dermawan luar yang menyumbang kepada persatuan itu.
Usaha kerajaan membina tujuh buah sekolah baharu termasuk di Shah Alam adalah amat tepat. Kerajaan perlu mengambil kira demografi penduduk yang mengalami proses transmigrasi dan urbanisasi dari kawasan kampung melalui penghijrahan ke bandar dan pinggir bandar dan kawasan perindustrian.
Justeru itu, ada ketidakseimbangan bilangan murid di luar bandar yang mengalami kekurangan murid dan lebihan kemudahan dan limpahan murid di kawasan bandar-bandar sehingga setiap tahap sehingga 11 kelas dengan setiap kelas mempunyai 40 orang pelajar.
Ini akan menyebabkan kualiti pembelajaran mungkin merosot dan menyebabkan ketidakcukupan kemudahan kerusi, meja dan peralatan pembelajaran, bahkan bilik-bilik darjah. Kerajaan perlu membuat kajian melibatkan sekolah-sekolah yang terkesan fenomena seperti ini.
Sudah sampai masanya kerajaan mengambil inisiatif memperkasakan pemegang taruh utama sistem pendidikan seperti PIBG dengan memberikan insentif percukaian kepada ibu bapa, guru mahu pun pihak dermawan luar yang menyumbang kepada persatuan itu.
Ini kerana akhirnya sumbangan ini akan digunakan untuk membaiki dan membina prasarana, meningkatkan kecemerlangan dan kebitaraan sekolah. Yang akhirnya akan membantu meningkatkan prasarana dan kemudahan di sekolah, kemenjadian murid dan meningkatkan Karamah Insaniah.
Saya yakin Bajet 2023 yang dibentangkan semula ini akan diluluskan disokong oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara seterusnya diluluskan.
-
Taqiyuddin Amini Abdul Satar merupakan YDP PIBG SBPI Rawang (Tahfiz Model Ulul Albab) dan YDP PIBG Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 Shah Alam
BACA JUGA: Belanjawan Madani 2023: RM1.2 bilion disedia baiki 400 klinik, sekolah daif