‘Autogate’ turut dibuka kepada pelancong asing, atasi kesesakan di KLIA – Menteri
Kaunter imigresen menggunakan ‘auto gate’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut akan dibuka kepada pelancong asing sebagai salah satu langkah segera mengatasi kesesakan di pintu masuk utama negara.
Prihatin dengan masalah itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan turun padang meninjau keadaan di KLIA bagi meneliti punca utama kesesakan dan mencari jalan bagaimana mempercepatkan urusan ketibaan pelancong di pintu masuk negara.
“Dalam masa terdekat kami sedia merencana beberapa ikhtiar. Kita akan umumkan pembukaan auto gate di KLIA untuk warga negara asing terutama dari negara berisiko rendah seperti Singapura, Brunei, New Zealand atau negara G7.
“Sebelum ini auto gate untuk rakyat kita sahaja untuk keluar dan masuk balik tetapi tidak terbuka untuk warga aging.
“Kita harap dapat kurangkan kesesakan pada saat ketibaan yang tinggi. Itu antara langkah penyelesaian segera yang kita dapat usahakan sementara ada lagi beberapa ikhtiar yang kami susun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN) dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut Saifuddin, waktu puncak ketibaan pelancong adalah pada pukul 3 petang hingga 11 malam di mana ketibaan pesawat berlaku selang antara tiga hingga empat minit menjadikan proses pemeriksaan Imigresen mengambil masa agak lama.
“Petang ini saya akan turun di KLIA. Dalam masa terdekat kami sedia untuk merencana beberapa ikhtiar untuk melegakan masalah, lebih-lebih lagi sekarang tengah musim cuti sekolah.
“Saya faham bahawa ini memberikan wajah paling awal sekali (iaitu) di pintu masuk negara yang kita perlu uruskan dengan baik tanpa maksud untuk berbasa basi.
“Saya akui masalah itu memang benar-benar wujud dan ikhtiar itu sedang kami usahakan. Kami akan maklumkan beberapa langkah,” katanya.