Bila nak saman Anwar, Pagoh?

Lim Guan Eng (Bagan-PH) mempersoalkan bilakah Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Pagoh-PN) mahu mengambil tindakan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang diuar-uarkannya.
Katanya, beliau masih menunggu tindakan seterusnya yang akan diambil Pengerusi Perikatan Nasional itu berkenaan dengan dakwaan skandal Jana Wibawa.
“Kita tunggu penjelasan daripada mantan perdana menteri tentang skandal ini. Bilakah beliau akan saman terhadap Anwar seperti yang diuar-uarkan?
“Beranikah beliau mencontohi Anwar, yang mengambil tindakan berani terhadap pihak yang memfitnah beliau sehingga pemimpin Pas yang kuat fitnah menjilat balik apa yang diludah ke langit sampai mukanya sendiri yang basah,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tan Sri Mahiaddin Yassin (Pagoh-PN)
Mahiaddin sebelum ini mempertahankan dirinya tidak bersalah dalam isu melibatkan program Jana Wibawa ketika pentadbirannya.
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula telah mengesahkan bahawa beliau masih di bawah siasatan.
Dalam sidang media pada 18 Februari lalu, beliau berkata sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selanjutnya untuk menangkis dakwaan yang dilemparkan terhadapnya
Kata bekas perdana menteri itu, beliau sudah pun meminta peguam untuk meneliti kes berkenaan kerana mendakwa tidak henti-henti fitnah dilempar terhadapnya.
Anwar telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa orang ahli politik yang menyebarkan fitnah berkenaan beliau. Terbaru, Anwar telah menghantar surat saman melalui peguam beliau kepada Awang Solahudin Hashim (Pendang-PH).