Fitnah PM: AMANAH lapor polis terhadap Ahli Parlimen Pendang

AMANAH bertindak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim kerana didakwa melakukan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua AMANAH Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pihaknya di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi mengenai dakwaan Awang yang menuduh dan menghina Perdana Menteri berkenaan pendakwaan terpilih dalam isu Jana Wibawa.

“Kes Jana Wibawa ini telah berlaku semasa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan kini ia sedang dalam siasatan.

“Tindakan yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku PM ke-10 adalah benar berdasarkan undang-undang dan ia bukanlah satu dakwaan yang terpilih khususnya terhadap Datuk Wan Saiful Wan Jan,” katanya kepada Harapan Daily selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini.

Menurut Ahmad Asri, siasatan kes berhubung Jana Wibawa tidak berkaitan langsung dengan campur tangan mana-mana ahli atau parti politik di negara ini.

“Malaysia mempunyai undang-undang. Apa yang berlaku ini adalah satu contoh prosedur yang mengikut undang-undang negara.

“Kerajaan Perpaduan sudah semestinya bersikap adil dan saksama terutama sekali untuk membawa Malaysia Madani ini kepada kesejahteraan,” ujarnya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Pendang didakwa menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pendakwaan terpilih dalam isu Jana Wibawa yang kini dihadapi Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu berkaitan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta.

Pada 22 Februari lalu, Anwar sekali lagi memfailkan notis tuntutan terhadap Awang menuntut pemimpin Pas itu membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkannya terhadap Perdana Menteri itu di lobi Parlimen, pada 21 Februari lepas.

Mengikut notis tuntutan itu, Awang mengungkapkan atau membuat kenyataan kepada pemberita di luar Dewan Rakyat mengenai Perdana Menteri dan ia diterbitkan semula dalam aplikasi Tik Tok di bawah akaun ‘@asriasri64chanel’ pada 22 Februari yang mendapat lebih 20,600 tontonan, 322 komen, 159 tanda suka, 19 tanda kegemaran dan 47 perkongsian.

Â