Hentikan Islamofobia jika hendak Malaysia kekal bersatu, multi budaya – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agensi dan jentera kerajaan agar meningkatkan usaha menghentikan masalah Islamofobia dengan memastikan rakyat pelbagai agama dan kaum saling memahami dan menghormati.

Perdana Menteri berkata tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia terus kekal bersatu dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

“Saya menggesa agensi dan jentera kerajaan, jika anda mahu memastikan Malaysia kekal bersatu dengan kepelbagaian kaum, multi agama serta, budaya mesti menerusi saling memahami dan menghormati.

“Al-Quran menyatakan tentang kepentingan mengenali pelbagai bangsa, kaum dan bahasa melalui memahami dan mengenali satu sama lain..bukannya sombong terhadap orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Antarabangsa tentang Islamofobia: Libatserta Bermakna Melalui Wacana Madani di Dewan Damar Sari, Kompleks F8, Presint 1, Putrajaya pada Isnin.

Ia merupakan anjuran International Institute of Islamic Thought (IIIT) dengan kerjasama Kementerian Luar Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan perwakilan-perwakilan asing.

Anwar bersalaman dengan perwakilan asing yang hadir dalam Forum Antarabangsa tentang Islamofobia: Libatserta Bermakna Melalui Wacana Madani di Putrajaya pada 27 Februari 2023. Foto Jabatan Penerangan

Perdana Menteri berkata semua pihak perlu berbuat sesuatu untuk mengatasi Islamofobia dan pihaknya menyambut baik usaha yang telah diambil oleh Turki dan Sepanyol.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan pada masa depan perlu ada wacana melibatkan pasukan pakar mewakili Islam dan agama lain terutamanya di Malaysia dan Barat.

“Ini kerana ramai pemikir di Barat juga ada yang tidak bersetuju dengan Islamofobia dan kebencian terhadap orang lain,” katanya.

Katanya pertukaran idea sedemikian memberikan manfaat sebagaimana yang diambil oleh pihak IIIT dan Kementerian Luar.

“Ini begitu kritikal di Malaysia, selama ini kita menerima pengaruh dari Barat, kita perlu terbuka untuk mendapatkan manfaat daripada semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau wacana tersebut perlu mempunyai jati diri tanpa mengira daripada apa bentuk budaya dan teknologi sama ada Amerika, India atau Eropah, masyarakat kekal sebagai Melayu dan Islam tetapi benar-benar bersifat Malaysia.

Terdahulu forum itu menampilkan Penolong Profesor di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Dr. Ahmad El- Muhammady dan Pengarah Centre for Postnormal Policy and Futures Studies (CPPPS) Ziauddin Sardar manakala Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

BACA JUGA: Malaysia edar sejuta al Quran tindak balas bakar Quran di Sweden