Kaukus berkaitan orang muda akan ditubuhkan

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengumumkan bahawa sebuah kaukus berkaitan orang muda akan ditubuhkan di Parlimen tidak lama lagi menerusi ciapannya di Twitter.

“Semasa Dewan Rakyat berehat tengah hari tadi, saya bertemu dengan Yang Berhormat Bentong, Hang Tuah Jaya dan Bandar Kuching.

“Mereka menyatakan hasrat untuk menubuhkan kaukus ahli Parlimen muda. Saya menyambut baik hasrat ini dan menyokong penuh usaha penubuhan kaukus tersebut,” katanya dalam ciapan tersebut.

“Saya menyambut baik hasrat ini dan menyokong penuh usaha penubuhan kaukus tersebut,” tambah beliau.

Ahli Parlimen yang menemui beliau ialah Young Syefura Othman (Bentong-PH), Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli (Hang Tuah Jaya – PH) dan Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH).

Kaukus mempunyai sifat hampir sama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen dalam erti kata ia melangkaui politik kepartian. Apa yang membezakannya ialah ia bukan jawatankuasa yang kekal.

Dr Kelvin turut menciapkan perkara sama.

Beliau berkata, kaukus yang membabitkan ahli Parlimen muda ini akan menjadi persada untuk membangkitkan isu-isu berkaitan orang muda dan wadah untuk mereformasi agar lebih ramai pemimpin muda dapat diketengahkan.

Ini adalah antara pembaharuan yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Datuk Johari Abdul.

BACA JUGA: Datuk Johari Abdul: Dari reformis ke Speaker Dewan Rakyat