Kerajaan teliti kaedah pastikan pekerja ekonomi gig mencarum KWSP
Putrajaya sedang mengkaji perundangan khusus untuk memastikan kebajikan pekerja ekonomi gig dilindungi memandangkan kebanyakan pekerja sektor berkenaan tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, langkah itu bagi memastikan pekerja ekonomi gig mempunyai jaminan pendapatan mereka sendiri.
Namun, beliau mengakui kerajaan masih belum mempunyai mekanisme yang baik untuk mengatur aduan pekerja sektor gig.
“Berkaitan tabungan saraan hari tua, kementerian sedang mengkaji perlindungan pekerja gig dalam satu perundangan yang khusus untuk menjaga kebajikan pekerja sektor ini termasuk mereka yang bekerja sendiri.
“Kami sedang mencari apakah jalan terbaik untuk membolehkan kita wujudkan perundangan khusus ini.
“Perkara-perkara yang dimasukkan dalam akta baru gig ini adalah untuk memastikan terdapat jaminan pendapatan untuk mereka.
“Namun, buat masa ini kita tidak mempunyai mekanisme aduan yang baik. Perkara ini akan diteliti,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Azli Yusof (Shah Alam-PH) yang memaklumkan bahawa 80 peratus orang bekerja sendiri tidak mempunyai caruman KWSP, sedangkan 70 peratus pekerja gig menjadikan pekerjaan tersebut sebagai pekerjaan utama.
Begitupun, buat masa ini kata Sivakumar, pekerja ekonomi gig yang bekerja sendiri telah diwajibkan untuk mencarum dan berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPC) di bawah Perkeso.
Beliau berkata, SKSPC menawarkan faedah kepada orang bekerja sendiri yang dilindungi seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah elaun tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional, dan faedah pendidikan.
Bermula Oktober 2021, semua pekerja gig di sektor pengangkutan dan penghantaran barangan serta makanan telah diwajibkan untuk mencarum SKSPC.
Berdasarkan statistik Perkeso, dari Januari hingga Disember 2022, seramai 374,906 orang bekerja sendiri telah mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial.
BACA JUGA Belanjawan 2023 buktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan cakna rakyat B40, M40
Â