Skim kesihatan Selangor model pelaksanaan Skim Perubatan Madani

Skim Perubatan Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan seiring dengan Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) bertujuan untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasrat kerajaan persekutuan untuk mewujudkan Skim Perubatan Madani dengan menjadikan skim kesihatan Selangor sebagai model disifatkan sebagai satu penghargaan buat kerajaan negeri itu.

Menurutnya, skim tersebut memberi peluang kepada golongan B40 untuk mendapat rawatan di hospital swasta tanpa perlu bersesak di hospital awam.

“Isu selalu timbul di hospital awam adalah kesesakan dan memang kerajaan akan pertingkatkan mutu perkhidmatan itu tetapi ini sudah tentu mengambil masa.

“Dalam tempoh perbaiki itu mungkin akan ada kelahiran baharu dan pertambahan penduduk berlaku, jadi ini adalah salah satu solusi untuk galakkan rakyat ke hospital atau klinik swasta dengan subsidi disediakan kerajaan.

“Pada masa sama, hospital atau klinik swasta ini akhirnya membantu kurangkan kesesakan di hospital awam walaupun kerajaan perlu belanja dengan wang sangat besar demi menjamin kesihatan rakyat,” lapor Selangorkini.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Persekutuan 2023 mengumumkan pelaksanaan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan RM120 juta khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta.

Terdahulu, sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2023, Amiruddin berkata inisiatif baharu yang diperkenalkan Perdana Menteri itu membolehkan perkongsian dalam pelaksanaannya.

“Bukan sahaja Skim Perubatan Madani menjadi inspirasi tetapi banyak lagi seperti bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal yang mana telah diinisiatifkan terlebih dahulu di Selangor.

“Beberapa program di Selangor dijadikan model kepada Kerajaan Perpaduan dan saya rasa gembira ia dapat dilaksana termasuk dapat berkongsi bagaimana pelaksanaannya serta cabaran yang ditemui untuk laksanakan hal tersebut,” katanya.

BACA JUGA Ketua Penerangan PKR jadi ejen kerajaan negeri bantu rakyat