Terengganu gagal jana hasil, terus bergantung royalti petroleum

Setelah 5 tahun diperintah Pas kerajaan negeri Terengganu terus gagal mengembangkan ekonomi negeri kepada penjanaan hasil hasil baharu.

Hal itu dipersoalkan oleh Pengerusi Biro Komunikasi dan Penerangan PKR Kemaman, Ahmad Nadhir Yob yang melihat tiada kesungguhan Menteri Besar atau Exco untuk mencetus program perindustrian di negeri itu bagi menambah hasil bukan royalti petroleum bagi diguna membayar gaji kakitangan awam negeri.

Oleh itu, KEADILAN Cabang Kemaman mempertikaikan kerajaan yang terus bergantung kepada pembayaran dana khas kerajaan pusat (DKKP) biar pun parti itu pernah memerintah negara selama 3 tahun dan boleh menghalakan palaburan industri ke Terengganu.

“Merujuk kepada dokumen belanjawan kerajaan Terengganu 2023 jumlah DKKP ini mewakili hampir 95% anggaran hasil iaitu sebanyak 1.609 bilion berbanding hasil cukai RM 65.17 juta dan hasil bukan cukai sebanyak RM 135.59 juta

“Data ini jelas menunjukkan kebergantungan tinggi kerajaan Terengganu terhadap DKKP untuk mengurus dan membangunkan ekonomi negeri,” kata beliau dalam kenyataan.

Katanya, keputusan kerajaan melalui Belanjawan 2023 yang menyatakan bahawa bantuan wang ehsan akan disalurkan terus kepada rakyat Terengganu membuahkan tanda tanya, apakah DKKP akan diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan?

Sekiranya tidak diteruskan, apakah akan terjadi kepada kerajaan Terengganu.

“Model ekonomi kerajaan Pas yang terlalu bergantung kepada terimaan bukan hasil seperti DKKP ini dilihat sudah tidak relevan.

“Kerajaan negeri seharusnya meneroka model ekonomi baru bagi menggantikan terimaan bukan hasil.

“Sudah banyak desakan dan saranan sebenarnya yang diajukan namun begitu dipandang sepi oleh pimpinan kerajaan negeri yang diterajui Pas,” kata Nadhir.

Justeru beliau mencadangkan agar pentadbiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar meneliti gesaan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang sebelum ini menyarankan agar bidang artificial inteligence (AI) dalam sektor pertanian, pelancongan dan juga industri berteknologi tinggi diteroka bagi menjana pendapatan.

“Kerajaan negeri harus proaktif dalam menarik pelaburan berimpak tinggi datang melabur ke negeri itu.

“Terengganu kurang mempunyai tapak-tapak industri yang boleh dibangunkan untuk menjana ekonomi negeri,seharusnya kerajaan melalui unit perancang ekonomi negeri menyediakan perancangan yang menyeluruh dalam membentuk ekosistem ekonomi yang mesra pelabur yang dapat menarik pelaburan berimpak tinggi

“Jika perkara ini tidak diambil serius oleh kerajaan negeri maka prospek ekonomi Terengganu akan menjadi malap dan ini pasti akan menjejaskan kehidupan rakyat Negeri Terengganu,” katanya lagi.

BACA JUGA MP PN buat pemukiman semak Belanjawan 2023