Anwar pertimbang tambah peruntukan khas Sabah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, beliau akan mempertimbangkan kenaikan peruntukan khas kepada Sabah.

Menteri Kewangan itu berkata, Kerajaan Persekutuan pada masa ini telah meluluskan peruntukan khas RM300 juta kepada Sarawak, manakala Sabah menerima kurang daripada jumlah itu.

Menurutnya, usaha menambah dana khas kepada Sabah wajar bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan setelah berpuluh tahun menerima kadar yang rendah.

Anwar dan Wan Azizah pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Sabah hari ini.

“Berkaitan peruntukan khas, apabila tubuh Malaysia pada 1963, Sabah memang ketinggalan, maka ada beberapa perjanjian, rundingan berapa puluh juta diberi kepada Sabah dan Sarawak.

“Namun, munasabahkah RM20 juta untuk mempercepatkan pembangunan, sudah tentu tidak.

“Mulai tahun ini, segera RM300 juta kepada Sarawak dan kurang sedikit kepada Sabah, tapi saya akan timbang untuk tambah, insya-Allah,” ujarnya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan, di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa soal peruntukan khas tersebut tidak boleh lagi dibiarkan setelah sekian lama kerajaan yang bersilih ganti membiarkan jumlah itu tidak dinaikkan.

“Bagaimana kerajaan silih berganti, hal begini dibiarkan. Sebab itu jangan pandang ringan soal pimpinan negara, jangan fikir bergaduh pasal kaum dan parti, kita mesti wujudkan pimpinan yang bertanggungjawab, jangan ada sentimen kaum, jaga negeri ini.

“Saya yakin kalau landasan betul, hentikan ketirisan, bocor, Sabah ini boleh menjadi negeri yang gagah dan Malaysia pun naik,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Mat Sabu mahu lihat 10 tahun lagi petani jadi pilihan dibuat ‘menantu’