Belanjawan 2023 pastikan belia diperkasa, inisiatif Selangor jadi model – Exco

Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi platform penting dalam memastikan pembangunan belia terutamanya di Selangor dapat terus diperkasa.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Perpaduan sentiasa mendengar dan menghayati isu-isu dihadapi oleh golongan belia termasuk menyediakan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2023.

“Belanjawan 2023 memberi satu harapan baharu kepada golongan belia dan secara spesifik Perdana Menteri (PM) memberi satu nafas baharu kepada golongan yang tertinggal sebelum ini.

“PM beri harapan baharu dengan memberikan inisiatif, yang untungnya menjadi anak belia Selangor kerana dapat menerima manfaat program kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemu bual oleh Selangor FM semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyempurnakan penyerahan subsidi program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) Selangor 2020 di Shah Alam pada 14 Disember 2022. Hadir sama Mohd. Khairuddin . Foto Media Selangor

Mohd Khairuddin berkata kerajaan turut tidak meminggirkan golongan belia yang terlibat dalam ekonomi gig selaku penghantar makanan dan bungkusan bagi membela nasib mereka supaya tidak ditindas dan dianiaya.

“Jumlah pembawa e-hailing di Malaysia ada 35,000 dan saya nak maklum bahawa 15,000 sahaja berada di Selangor.

“Sebab itu Menteri Besar Selangor juga memperkenalkan banyak skim yang relevan antaranya Skim Roda Darul Ehsan (RiDE) yang telah kita laksanakan sepanjang tiga tahun,” katanya.

Program RiDE yang diperkenalkan sejak 2020 diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, bagi membantu golongan belia untuk memiliki Lesen Memandu Motosikal B2 secara percuma.

Dalam pada itu, Khairuddin turut menyambut baik pengumuman untuk melepaskan individu muflis yang turut melibatkan ramai golongan belia di negara ini.

“Saya sangat suka apabila PM mengisytiharkan mana-mana mereka yang muflis, cukup syarat, hutang bawah RM50,000 akan dilepaskan serta-merta pada 1 Mac nanti.

“Pengumuman itu memberikan satu nafas baharu kepada mereka yang terjebak atau terlibat dalam masalah kewangan ini,” ujarnya.

BACA JUGA: Selangor perluas Skim Smart Sewa, bantu golongan susah miliki rumah