Hospital Jelebu bakal dinaik taraf, beri manfaat masyarakat setempat

Usaha Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Jelebu di Negeri Sembilan, dilihat mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat selain dapat mengurangkan kesesakan kemudahan kesihatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya bersyukur kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menaik taraf Hospital Jelebu dan beberapa hospital lain di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri yakin bahawa penambahbaikan ini mampu memberi manfaat secara terus kepada penduduk di sekitar Jelebu, di samping mengurangkan kesesakan kemudahan kesihatan.

”Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas satu lagi bantuan secara langsung daripada Kerajaan Persekutuan pada pembentangan Belanjawan 2023 iaitu yang diumumkan Jumaat lepas,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau, baru-baru ini.

Kerajaan akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar di Perak, Jelebu di Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian di Johor yang sudah berusia hampir seabad.

Untuk rekod, sebanyak RM36.3 bilion disediakan kerajaan untuk sektor kesihatan melalui Belanjawan 2023 Malaysia Madani.

Jumlah itu sekali gus menjadikan sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar selepas pendidikan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor itu turut merekodkan pertambahan peruntukan paling besar berbanding RM32.4 bilion yang diterima tahun lalu.

Komponen utama melalui belanjawan kali ini adalah melibatkan keperluan perolehan perubatan, reagen vaksin dan bahan guna habis.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan yakin mampu pertahan kesemua 20 kerusi DUN