Isu titah Agong: Tuan Ibrahim minta maaf

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN) telah meminta maaf susulan dakwaan beliau bahawa titah Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian telah disediakan oleh kerajaan.

“Saya sudah memberi penjelasan berhubung kekhilafan berlaku dengan Speaker… saya fikir ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu penting.

“Saya fikir sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan kita terus kepada agenda lebih penting untuk kepentingan rakyat,” kata beliau.

Persidangan Dewan Rakyat kecoh seketika pada minggu lalu apabila Tuan Ibrahim mendakwa, titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan dan dibawa ke Kabinet sebelum diluluskan.

Sebagai reaksi RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan mengenai Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan Tuan Ibrahim membuat sangkaan jahat bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan.

Ekoran itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mengesahkan pertemuan enam mata telah diadakan untuk menyelesaikan pertikaian di antara kedua-dua ahli parlimen tersebut.