Kerajaan negeri tak lupa janji, serah hadiah banglo RM1 juta sebelum Aidilfitri – MB

Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak perlu lupa tentang janji mereka untuk menghadiahkan sebuah banglo bernilai RM1 juta kepada waris pencipta lagu Negaraku dan Negeri Selangor, Allahyarham Saiful Bahri Elyas.

Menteri Besar berkata banglo tersebut akan diserahkan sebelum sambutan Aidilfitri ini dan kini dalam proses melengkapkan dokumentasi dan aspek teknikal.

“Insya-Allah Kerajaan Negeri tidak pernah lupa akan janji yang telah dibuat kepada waris Allahyarham Saiful Bahri Elyas.

“Rumah banglo bernilai RM 1 juta tersebut akan diserahkan sebelum Aidilfitri, kini sedang dalam proses penyediaan dan melengkapkan dokumentasi dan beberapa aspek teknikal,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Amirudin mengulas laporan media, lima waris pencipta lagu Negaraku, lagu negeri Selangor dan Melaka, Allahyarham Saiful Bahri Elyas sehingga kini terus menanti janji Kerajaan Negeri Selangor yang mahu menghadiahkan sebuah rumah kepada mereka.

Qus Nafiah, 51, yang juga anak ketiga Saiful Bahri mendakwa sehingga kini pihak berkaitan belum memberi perkembangan tepat mengenai rumah berkenaan.

Menurutnya, fokus utama mereka iaitu tuntutan hak cipta lagu berkenaan juga masih ‘malap’ tanpa sebarang perkembangan biarpun ia diperjuangkan sejak 1993.

Pada 25 Februari lalu, Amirudin dalam kenyataan berkata maklum balas status penyerahan hadiah rumah bernilai RM1 juta kepada waris Allahyarham Saiful Bahri sudah dibuat pada Disember lepas.

Katanya pemberian hadiah bukan dirancang daripada awal sebaliknya merupakan idea beliau secara persendirian.

Pada 30 Ogos lalu, waris pencipta lagu rasmi Selangor menerima rumah bernilai RM1 juta dari Kerajaan Negeri sebagai penghargaan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun 2022.

Amirudin menyampaikan pengiktirafan itu kepada anak perempuan Allahyarham Saiful Bahri, Qus Nafiah dan empat adik-beradiknya pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemedekaan Shah Alam pada 30 Ogos tahun lalu.

Selain lagi negeri Selangor Duli Yang Maha Mulia, Saiful Bahri juga merupakan pencipta seni kata lagu Negaraku dan lagu negeri Melaka.

Beliau yang juga bekas Pengarah Muzik Filem Negara meninggal dunia di Tokyo, Jepun pada tahun 1976 ketika berusia 52 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Kusir, Kebayoran Lama, Jakarta atas permintaan isteri pertamanya R Suratmi.

Karya gubahan dan susunan Saiful Bahri dirasmikan pada 8 Mac 1967 selepas dipersetujui Dewan Diraja Selangor dan diperkenan Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menggantikan lagu pertama negeri Cantik Manis.

Beberapa lagu patriotik yang terkenal seperti Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air juga merupakan hasil gubahan Allahyarham Saiful Bahri.

BACA JUGA: Skim kesihatan Selangor model pelaksanaan Skim Perubatan Madani