Perkhidmatan kesihatan semakin baik, rakyat pilih hospital kerajaan

Kerajaan yakin mutu perkhidmatan hospital-hospital kerajaan yang semakin baik menyebabkan rakyat lebih memilih untuk mendapatkan rawatan di sana, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof.

Beliau berkata, itu sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada kesesakan pesakit di hospital-hospital biarpun banyak usaha dilakukan kerajaan dengan membina dan menaik taraf hospital, klinik kesihatan dan klinik desa.

Kata Fadillah, rakyat juga bertambah yakin untuk pergi ke hospital kerajaan kerana sistem kesihatan negara bertambah baik melibatkan pegawai-pegawai kesihatan daripada doktor, jururawat dan semua kementerian terlibat.

“Kerajaan telah mengadakan banyak usaha di mana banyak hospital baru telah dibina, hospital lama dinaik taraf, klinik kesihatan, klinik desa semuanya dah bertambah banyak

“Pokok pangkalnya mengapa hospital masih sesak? Mungkin mutu perkhidmatan kita dah bertambah baik,” katanya dalam sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (Sibu-PH) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendapat tentang kesesakan hospital kerajaan yang semakin membimbangkan.

Fadillah turut menyatakan kebimbangan, berpendapat kesesakan di hospital kerajaan boleh memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia tidak mengamalkan budaya hidup sihat yang sebenar.

Kerana itu katanya, semua pihak terutama wakil-wakil rakyat perlu berperanan menjalankan program bersama kementerian kesihatan supaya dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan budaya hidup yang sihat.

“(Kesesakan di hospital) boleh memberi gambaran bahawa adakah kita di Malaysia ini tidak mengamalkan budaya hidup yang sihat? Sebab itu lebih ramai terpaksa merujuk ke doktor, demam sakit dan sebagainya.

“Jadi di sinilah saya kira peranan semua Ahli Parlimen untuk kita jalankan program bersama kementerian kesihatan, doktor-doktor supaya beri kesedaran mengamalkan budaya hidup sihat supaya kita tak payah pergi hospital. (Yang pergi hospital) hanya sakit kritikal.

“Jadi hospital kita tak akan terbeban untuk mengendalikan terlalu banyak kes-kes kesihatan yang akhirnya merugikan negara dari segi kedudukan kewangan dan merugikan rakyat kita juga. Itu patut jadi tumpuan kita,” katanya lagi.

BACA JUGA Bangunan tambahan Hospital Segamat beroperasi mulai awal Mac – KKM