Syarikat MKD tak capai KPI perlu laksana pelan tindakan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang tidak mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sekurang-kurangnya 80 peratus pada tahun semasa perlu mengemukakan penjelasan lanjut.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat berkenaan terbabit turut perlu melaksanakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangannya.

“Pada 2020, dunia dilanda wabak Covid-19 di mana kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak ini. Syarikat termasuk MKD juga terjejas dari segi prestasi dan pendapatan syarikat,” katanya melalui jawapan bertulis, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kewangan (MOF) sebagai pemegang saham syarikat MKD meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi supaya syarikat MKD sentiasa beroperasi selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang ditetapkan.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai semua syarikat pelaburan kerajaan (GLC) yang mengalami kerugian sejak 2020 dan apakah langkah akan diambil untuk menyelesaikan masalah ini.