Tidak perlu bertanding siapa lebih Islam dengan Pas, kata Mujahid

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengingatkan kerajaan dan orang ramai agar jangan berlumba dengan Pas untuk menunjukkan siapa lebih Islam kerana Islam versi Pas berdasarkan kebencian kaum.

“Jangan berlumba untuk mendakwa bahawa kita itu lebih Islamik sebab naratif Pas adalah Islam yang ditonjolkan dengan kebencian kaum.

“Saya menyeru kepada orang ramai supaya jangan berlumba dengan Pas dengan dakwaan siapa lebih Islam kerana Islam yang dibawa oleh PH adalah Islam yang Rahmah untuk bangunkan seluruh rakyat dalam negara ini dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja.

“Kita bukannya mengamalkan di hadapan Islam bercakap lain dan sebaliknya pula dengan bukan Islam.

“PH akan kekalkan asas wujudnya dalam negara ini dan kita akan tetap pertahankan kepelbagaian ini,” ujar beliau semasa menyampaikan pembentangan beliau di Konvensyen PH negeri Kedah di Sungei Petani kelmarin.

Tegas beliau lagi, dalam apa jua situasi rahmah tetap menjadi polisi yang tidak boleh ditinggalkan. Malahan AMANAH telah pun menjadikan dasar ini sebagai naratif parti tanpa kompromi.

Umno perlu jadi lebih kuat

Dalam konteks pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang tidak lama lagi pula, beliau berkata Umno perlu menjadi kuat bagi memenangi PRN Kedah kali ini.

Tambah Mujahid lagi, realitinya PRN ini harus ada yang berjiwa besar kerana terdapat kerusi dan tempat yang perlu dikompromi.

Pengorbanan ini jelas beliau adalah bagi memastikan kemenangan dalam PRN dan kesinambungan serta mandat PH untuk terus memerintah negara.

 

BACA JUGA Hentikan Islamofobia jika hendak Malaysia kekal bersatu, multi budaya – Anwar