Warga 10 negara berisiko rendah dibenar guna ‘autogate’ di pintu masuk utama

Warga asing dari 10 negara berisiko rendah kini dibenar menggunakan kemudahan ‘autogate’ di pintu masuk utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Negara tersebut merupakan Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, New Zealand, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Arab Saudi.

Pelancaran perluasan kemudahan pintu automatik itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di KLIA semalam.

Langkah itu merupakan kesinambungan terhadap inisiatif Jabatan Imigresen (JIM) untuk menangani kesesakan di pintu-pintu masuk utama negara melalui pendekatan mengoptimumkan kemudahan ‘autogate’.

Kemudahan autogate di KLIA dapat mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen Imigresen. Foto Jabatan Imigresen

Terdahulu JIM telah melaksanakan peluasan kemudahan ‘autogate’ kepada pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang mulai 15 November 2022 dan kepada warganegara Singapura mulai 20 Januari lalu.

Jabatan Imigresen dalam kenyataan berkata penentuan 10 negara ini turut berpandukan kepada penilaian risiko terhadap pelawat yang dikategorikan sebagai berisiko rendah dari negara tersebut.

“Inisiatif peluasan kemudahan ‘autogate’ kepada 10 warganegara asing ini menunjukkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen dalam melancarkan pergerakan keluar masuk di KLIA.

“Inisiatif ini untuk membantu dan menyokong industri pelancongan serta merancakkan aktiviti pelaburan yang melibatkan pelawat asing,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, Saifuddin telah mengumumkan pada 25 Januari 2023 untuk mewujudkan Task Force Quick Response Team (QRT) sebagai salah satu inisiatif untuk menangani kesesakan di KLIA.

JIM telah melaksanakannya pada 1 Februari lalu di KLIA dan di Johor Bahru pada 6 Februari.

BACA JUGA: ‘Autogate’ turut dibuka kepada pelancong asing, atasi kesesakan di KLIA – Menteri