2,825 kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Sebanyak 2,825 kes disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di bawah seksyen 233(1), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sejak tahun 2009 sehingga 28 Februari 2023.

Seksyen tersebut adalah berkaitan dengan penggunaan tidak wajar atau perkhidmatan rangkaian yang menjenayahkan komen, permintaan, cadanganatau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati,
menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching jumlah itu terdiri daripada 1,631 aduan melibatkan kandungan lucah, 574 kandungan palsu, 546 kandungan jelik, 67 kandungan mengancam dan tujuh kandungan sumbang.

Dari sudut siasatan dan pendakwaan beliau berkata 108 kes masih lagi dalam siasatan, 115 kes telah didakwa di mahkamah, manakala 40 kes telah dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM138,250.

“Sementara itu 84 kes telah dikeluarkan notis amaran. 2,478 kes pula berstatus tiada tindakan lanjut kerana tiada kesalahan dizahirkan.

“Kes-kes diklasifikan sebagai NFA adalah disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan telah disiasat,” kata beliau ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (Bangi-PH) semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Syahredzan meminta statistik bilangan individu yang disiasat, didakwa dan disabitkan dibawah seksyen tersebut.

“Daripada 115 kes yang didakwa, 108 kes telah selesai dan dijatuhkan hukuman dengan nilai keseluruhan RM1,040,000. Sebanyak 7 kes lagi dalam proses perbicaraan,” tambah Teo.

MENYUSUL LAGI

BACA JUGA: Rangkuman minggu pertama sesi Dewan Rakyat