Isu menarik di Dewan Rakyat hari ini

Sesi Dewan Rakyat hari ini akan menyaksikan isu-isu menarik dibangkitkan oleh ahli parlimen semasa sesi jawapan lisan hari ini

Antara isu menarik tersebut ialah persoalan yang dibangkitkan oleh Che Alias Hamid (Kemaman-PN) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkaitan pendirian kementerian berhubung dengan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditentang oleh banyak pihak termasuk sektor pertanian.

Kumpulan petani bersama kumpulan terkesan telah pun memberikan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum ini.

Selain itu, Syahredzan Johan (Bangi-PH) meminta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkenaan statistik bilangan individu yang disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia yang melibatkan hantaran lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sejak 2009. Syahredzan telah membangkitkan keperluan meneliti semula seksyen di atas ketika membahaskan titah ucapan Agong pada minggu lepas.

Satu lagi persoalan menarik ialah soalan oleh Datuk Wira Mas Ermiyati Samsudin (Masjid Tanah-PN) yang meminta hasil keberkesanan dan peratusan keluar mengundi Undi18 yang telah diterjemahkan pada pilihan raya ke 15 dan komitmen kerajaan untuk mendidik pengundi melalui Akademi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pakatan pembangkang telah menjalankan kempen mereka menerusi media sosial TikTok untuk mencapai kumpulan pengundi baru ini semasa PRU tersebut.

BACA JUGA: Rangkuman minggu pertama sesi Dewan Rakyat