Jakim: Filem Mentega Terbang bertentangan akidah, JAWI panggil penerbit

Penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati filem Mentega Terbang yang menimbulkan kontroversi terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian Islam dan menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum, agama dan cara hidup di negara ini.

“Saya telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat awam yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

“Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem tersebut,” kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan pada Rabu.

MOHD NA’IM MOKHTAR

Mohd Na’im berkata pihaknya telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti secara keseluruhan kandungan filem tersebut.

“Pihak Jakim telah diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.

“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk memanggil pihak-pihak yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga menasihatkan kepada penggiat seni kreatif agar lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat agar matlamat Kerajaan menuju Negara Madani akan tercapai.

“Masyarakat awam juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih rancangan TV untuk tontonan seisi keluarga samada di platform dalam talian mahupun mana-mana saluran agar tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah Islamiah,” katanya.

Filem Mentega Terbang terbitan Meng Kheng Entertainment dikritik hebat apabila didakwa menonjolkan elemen liberalisme dan penghinaan terhadap Islam.

Karya arahan Khari Anwar yang ditayangkan melalui penstriman TV Viu sejak 19 Januari lalu mengisahkan seorang gadis bernama Aisyah lakonan Syumaila Salihin mencari jawapan adakah ada kehidupan selepas mati.

Bagaimanapun, terdapat dialog yang kontroversi seperti kata Aisyah kepada rakannya “Saya boleh makan babi. Saya tak kisah”.

Terdapat juga dialog si bapa menyebut dia tidak akan halang jika Aishah memilih agama lain jika itu pilihan anaknya.

Turut tampil dalam filem itu ialah Arjun Thanaraju sebagai Suresh, Firdaus Karim sebagai Abah/Jailani dan Nik Waheeda sebagai Mama/Jamhariah.

BACA JUGA: Jangan terlibat perarakan timbulkan ketidakharmonian – Menteri Agama