Kawal kandungan di TikTok: Pemuda Pas jawab tuduhan
Ketua Penerangan Pemuda Pas Gombak, Suffi Kamari akan mengambil tindakan mahkamah susulan dakwaan bahawa dia bekerja di syarikat induk China bagi aplikasi video TikTok, ByteDance.
Menurutnya, dia bekerja di ByteDance pada Jun 2020 hingga Julai 2022 dan selepas itu bersama Dewan Pemuda Pas Gombak sepenuh masa.
“Semasa tempoh PRU (Pilihan Raya Umum) pada Oktober hingga November 2022, saya sudah tidak bekerja di ByteDance.
“Tugas saya semasa di ByteDance hanya melibatkan content moderation bagi pasaran Indonesia, Australia dan New Zealand.
“Bukan pasaran Malaysia. Dan saya tak ada akses untuk mengawal sebarang content apa yang akan naik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan Suffi itu ekoran dakwaan seorang individu yang mengaitkannya dengan proses secara manual untuk sesuatu video muncul di suapan TikTok pengguna lain (For You Page atau FYP).
“Selalunya proses untuk FYP di TikTok ini berlaku secara algoritma, bergantung pada video itu menarik, orang tonton lama selain orang komen dan kongsi.
“Jadi, video itu boleh pergi jauh. Itu algoritma yang automatiklah.
“Rupa-rupanya, (laporan) dalam majalah Forbes, ‘TikTok secret ‘heating’ button can make anyone go viral’, mereka telah temuramah staf TikTok dan juga bekas pekerja TikTok.
“Ada pekerja boleh kawal mana video yang boleh pergi viral secara manual. Apa kaitan pula dengan Perikatan Nasional dan TikTok Malaysia?” soal panel itu menerusi YuwanaTV.
Individu itu mendakwa bahawa salah seorang pekerja TikTok Malaysia merupakan seorang ahli politik seperti terpapar dalam platform rangkaian kenalan, LinkedIn.
“Ketua Penerangan Pemuda Pas Gombak. Siapa namanya? Suffi Kamari.
“Dia ini berada dalam organisasi TikTok Malaysia dan dia juga pernah dalam team content moderation.
“Saya dengar daripada kawan-kawan yang buat TikTok politik, mereka yang buat TikTok setiap hari ini, dia orang rasa kadang-kadang bila tengah laju, macam kena shadowban (tidak dapat dilihat oleh pengguna lain).
“Tengah laju, tiba-tiba berhenti, tak bergerak dah. Tak pergi dah ‘view’ (tontonan) itu,” katanya sambil mengakui tidak dapat mengesahkan sama ada hal itu sahih berlaku di negara ini.
Sehubungan itu, Suffi menegaskan bahawa dia akan mengambil tindakan mahkamah memandangkan tuduhan tersebut masih disebarkan sehingga kini.
“Saya tak mahu layan tuduhan-tuduhan liar begini, tetapi nampaknya sehingga kini masih ditularkan.
“Saya akan cuba teliti dengan peguam sekiranya ada ruang untuk diambil tindakan undang-undang,” tambah Suffi lagi.
BACA JUGA Iklan politik diharamkan di TikTok