KPKT bakal bina 1048 Rumah Belia Madani tidak lama lagi

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan pembinaan Rumah Belia Madani (RBM) untuk disewakan kepada golongan belia yang memulakan kehidupan di bandaraya tidak lama lagi.

Tekad politik ini telah mula diterjemahkan apabila KPKT dan Syarikat BMG Global Sdn Bhd pada 24 Februari lalu, telah memeterai perjanjian bagi pembangunan 1,048 unit RBM di ibu negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah menyaksikan perjanjian ini.

Pembangunan RBM ini menggunakan konsep ‘cross subsidy’ oleh KPKT bersama pemaju syarikat itu yang akan membangunkan 1,996 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dengan tawaran harga RM300,000 dan ke bawah bagi golongan belia berusia bawah 35 tahun.

Daripada keuntungan hasil jualan RMM, pemaju akan membina 1,048 RBM secara percuma iaitu pulangan timbal balik kepada kerajaan. Jumlah keseluruhan 3,004 unit (RMM & RBM) ini akan dibangunkan di Mukim Batu, Kuala Lumpur.

Ia melibatkan keluasan 5.17 hektar di atas tanah kerajaan manakala kos pembangunan rumah ditanggung oleh pemaju.

Konsep Rumah Belia Madani ini selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menterjemahkan konsep MADANI dalam memajukan negara dan golongan muda.

Untuk maklumat, RMM ialah rumah jenis pangsapuri dengan keluasan 800 kaki persegi dan 42 tingkat itu akan dibina di lokasi berhampiran Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.

RBM pula yang terdiri daripada unit studio dan unit dua bilik dengan ketinggian 38 tingkat dibina berhampiran Taman Metropolitan Kepong.

RBM berperanan sebagai rumah transit (sewaan) untuk satu tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan boleh diperbaharu sekiranya layak.

Perincian untuk permohonan bagi pembelian RMM dan sewaan RBM akan diumumkan selepas ini.

 

BACA JUGA Selangor sasar bina 60,000 unit rumah menjelang 2025