MB, Exco tiada kepentingan dalam Landasan Lumayan, itu syarikat kerajaan negeri

Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi di dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) seperti didakwa Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar berkata kedudukannya dalam syarikat itu adalah bertujuan mewakili kerajaan negeri.

“Saya ingin tegaskan saya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri tidak terganggu dan tidak terkurang,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan PN Selangor hari ini mengenai penganugerahan kontrak bernilai RM700 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada LLB  bagi projek SMG.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata LLB adalah syarikat milik penuh kerajaan negeri membabitkan 45 peratus milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan 55 peratus milik Berjaya Land yang telah diputuskan bagi mengetuai projek Selangor Maritime Gateway (SMG) pada tahun 2018.

“Pada Oktober 2022, Landasan Lumayan membentangkan cadangan pendalaman Sungai Klang sebagai sebahagian daripada projek SMG dan menangani banjir dengan kos RM700 juta hasil penelitian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan perunding yang dilantik.

“Kos projek ini dibiayai oleh Landasan Lumayan melalui pengecualian premium tanah (RM117 juta), tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh MBI.

“Projek ini tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada kerajaan negeri seperti didakwa,” katanya.

Amirudin juga menjelaskan kedudukan beliau dan Exco Selangor Izham Hashim dalam Lembaga Pengarah LLB juga seharusnya tidak menimbulkan sebarang isu berikutan peranannya adalah bagi mewakili kepentingan MBI dan kerajaan negeri.

“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada PN yang menghantar ‘peluru kapur’ untuk menyerang kerajaan negeri, boleh cuba lagi pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, PN Selangor menggesa pihak berkuasa itu menyiasat sebarang pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

Gesaan itu dibuat susulan tularnya dakwaan di media sosial mengenai Amirudin yang menyalah guna kuasa beliau dengan menggunakan kedudukan sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek itu kepada syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa menerima projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus daripada kerajaan negeri.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa di Balai Polis Kinrara pada pukul 2 petang tadi.

BACA JUGA: Amirudin bidas Shahidan, PN pun tidak beri bonus sampai RM1,000