Pantai Port Dickson suram, peniaga harus faham ‘isyarat’ masyarakat
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan peniaga di sekitar pantai Port Dickson, agar memahami ‘isyarat’ yang diberikan masyarakat susulan kesuraman pusat peranginan itu.
Beliau berkata, musim peperiksaan sekolah yang sedang berjalan, dilihat antara punca masyarakat kurang berkunjung ke sana walaupun pada musim cuti persekolahan ketika ini.
Katanya, cuti persekolahan ketika ini berbeza berbanding cuti sebelum ini kerana peperiksaan yang sedang berlangsung bukan hanya melibatkan pelajar, tetapi membabitkan guru.
“Minggu ini adalah minggu peperiksaan, bagi saya (kesuraman) itu juga satu peringatan buat peniaga-peniaga yang menyediakan khemah.
“Ia juga mungkin reaksi daripada masyarakat. Jadi, mereka kena faham apabila orang dah tak datang, perniagaan mereka turut terganggu.
“Peniaga-peniaga dinasihatkan agar mengikuti peraturan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.
Sidang media tersebut turut disiarkan menerusi penstriman langsung daripada Facebook rasmi Aminuddin.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau sering berpesan kepada masyarakat di situ supaya mengutamakan kebersihan dan lebih bersopan santun.
“Kita di Port Dickson ini harus mengutamakan kebersihan dan lebih bersopan santun kerana kita menerima tetamu.
“Jadi, saya harap faktor-faktor sedemikian harus ditambah baik dari semasa ke semasa supaya orang Port Dickson yang mencari rezeki dengan kehadiran pengunjung atau pelancong, memahami apa kehendak mereka.
“Kita ada orang yang harus diraikan (pengunjung) dan pada masa sama tahu apa kemahuan mereka,” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan terdapat rungutan daripada segelintir pengunjung yang tidak selesa dengan deretan khemah sewa yang diletakkan di persisir pantai.
Pengunjung menyifatkan, khemah berkenaan menganggu mereka untuk bersantai bersama ahli keluarga masing-masing.
BACA JUGA Hospital Jelebu bakal dinaik taraf, beri manfaat masyarakat setempat