Pemuda AMANAH gesa darjah kebesaran Presiden Pas ditarik balik

Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan agar pihak Istana Negara menarik balik anugerah Panglima Setia Mahkota yang membawa kepada gelaran Tan Sri kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Naib Ketuanya, Abbas Azmi berkata, langkah itu perlu memandangkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat seolah-olah masih mempertikai keabsahan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Adalah dicadangkan jika Tan Sri Haji Hadi masih tidak boleh menerima hakikat pembentukan kerajaan hari ini adalah dari Titah Kebawah Duli Tuanku, sewajarnya dia memulangkan semula pingat kebesaran yang diterimanya daripada Tuanku Agong sebelum ini.

“Atau jika serangan beliau kepada kerajaan Perpaduan ini masih tidak reda, disyorkan kepada Kebawah Duli Tuanku untuk menarik balik pingat Darjah Kebesaran yang diberikan kepada beliau,” tegas Abbas dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Hadi Awang

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam yang antara lain menyebut berkenaan kemungkinan jatuhnya pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kata Hadi, jika kerajaan sedia ada runtuh sekali lagi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengatakan ia ‘tebuk atap’ sebaliknya ia berlaku akibat ‘atap bocor.

Mengulas lanjut, Abbas berpendapat Abdul Hadi dilihat tidak menghormati keputusan dan titah Agong apabila menganggap Kerajaan Perpaduan dianggotai parti yang bermasalah.

“Sebagai seorang yang senior di dalam politik seharusnya Tan Sri Abdul Hadi Awang memahami situasi politik semasa dan bukannya berterusan mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Bahkan, ungkapan jika kerajaan ini sekali lagi jatuh jangan disalahkan pada mana-mana pihak terutama beliau.

“Apakah Tan Sri Presiden Pas ini sekali lagi rela melihat keadaan politik Malaysia kucar-kacir?

“Kenyataan yang kebudak-budakkan sebegini tidak membantu langsung usaha kerajaan memulihkan keadaan negara terutama ekonomi dan politik negara,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap semua ahli Parlimen dan rakyat bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha memulihkan negara.

“Kenyataan seperti Presiden Pas ini sememangnya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada negara bahkan langsung tidak membantu.

“Jika tidak mampu bersama memulihkan negara, adalah lebih baik beliau (Abdul Hadi) berdiam diri memberi kuliah di masjid dan surau sahaja,” tambah Abbas lagi.

BACA JUGA Kawal kandungan di TikTok: Pemuda Pas jawab tuduhan