Pendaftaran, kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah dibuka hingga 31 Mac – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendaftaran baharu dan kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac.
Perdana Menteri berkata perkara itu bagi memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan.
Selain itu kata beliau ia membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk membuat pengemaskinian.
“STR pada tahun 2023 akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.
“Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan,” kata Menteri Kewangan dalam kenyataan pada Rabu.
Melalui infografik yang dikongsi Perdana Menteri menyebut bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data penerima STR Fasa 1 akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan.
Di samping itu, data daripada beberapa agensi kerajaan disemak silang kelayakan STR mengikut syarat ditetapkan, kata infografik itu.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak menerima STR sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.
Menurutnya, pembaharuan itu diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR.
Dalam masa sama, kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.
Sumbangan tersebut akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
BACA JUGA: Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima STR