Selepas 12 tahun, filem Anwar: The Untold Story bakal ke pawagam pada Mei

Penerbit Eksekutif filem Anwar, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar memberi bayangan naskhah yang memaparkan kisah benar jatuh bangun perjuangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menemui penonton pada 11 Mei ini.

Beliau berkata, pembikinan filem tersebut mengambil masa hampir 12 tahun berikutan terdapat banyak halangan dalam menghasilkan penerbitan tersebut.

“Tempoh kita bermula filem ini sejak Ogos 2011 namun disebabkan kekangan tertentu kami terpaksa menangguhkan pembikinan naskhah ini,” kata kartunis reformasi itu dalam majlis peluncuran filem Anwar, The Untold Story di W Hotel Kuala Lumpur pada Rabu.

Zunar berkata sikap integriti yang ada pada tokoh politik itu yang membuatkan beliau nekad untuk terlibat dalam pembikinan filem ini.

“Saya sudah mempunyai hasrat untuk membuat filem mengenai (Anwar) sejak dari tahun 2000.

“Sebab ramai pemimpin yang kononnya anti-rasuah tetapi bila (pemberian) rasuah di depan mata mereka gagal menahan diri.

“Sebaliknya saya lihat Anwar Ibrahim tidak begitu (mengambil rasuah). Jadi saya mula mencatat perjalanan hidupnya untuk dibuat sebagai filem,” ujarnya lagi.

Susulan itu, beliau berharap penerbitan filem itu dapat mengangkat semangat juang dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memerangi rasuah.

Salah satu aksi dalam filem Anwar: The Untold Story memaparkan watak ‘Anwar’ yang dipegang Farid Kamil menjulangkan tangan dengan mata lebam. Imej ini begitu popular ketika reformasi 1998 apabila Anwar tampil dengan mata lebam akibat dipukul di dalam sel tahanan.

Karya produksi Bianglala Entertainment dari Indonesia menampilkan pelakon Malaysia, Farid Kamil Zahari selaku Anwar Ibrahim dan pelakon popular Indonesia, pasangan sejiwanya Acha Septriasa yang membawa watak isteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Hasnol Rahmat sebagai Mahathir.

Filem arahan Viva Westi ini mengisahkan ranjau perjuangan Anwar Ibrahim melawan korupsi. Beliau tegas menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai daripada pihak tertentu.

Disebabkan kredibilitinya, beliau menjadi Menteri Kewangan terbaik Asia.

Namun disebabkan keengganan menerima rasuah, beliau difitnah oleh sebuah konspirasi besar sehingga dipecat dan dipukul dengan kejam serta dibiarkan tanpa rawatan hingga beberapa hari.

BACA JUGA: Mohamad Sabu yakin pentadbiran PM Anwar kekal 5 tahun