Shafie: Parti tukar pakatan perlu ditafsir sebagai lompat parti

Shafie Apdal (Semporna-Warisan) menggesa agar peruntukan pindaan perlembagaan berkenaan lompat parti ditambahbaik agar perbuatan parti menukarkan pakatan politik mereka akan turut ditafsirkan sebagai perbuatan lompat parti.

Pindaan perlembagaan sekarang hanya mengekang ahli parlimen dari lompat parti.

“Terkadang itu manusia tak boleh melompat, tapi partinya pula melompat. Jadi ini kena diperhalusi. Saya pun bimbang,” kata beliau ketika membahaskan Belanjawan 2023.

Beliau juga mengulas tindakan beberapa ahli partinya yang bertindak melompat parti dari Warisan kepada parti yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

“Kalau hanya fikirkan ‘orang saya melompat, tak dapat tidur saya’. Ini kerana saya dah bertungkus lumus belanja duit, tenaga dan hal lain. Lepas itu mereka kata akan sehidup semati dengan Warisan, lepas itu dah hilang dah,” katanya dalam sesi perbahasan perbekalan 2023.

Beliau berharap enakmen lompat parti akan turut dimantapkan di peringkat negeri, terutamanya di Sabah untuk memastikan amalan lompat parti boleh dihentikan.

Sabah merupakan antara negeri yang belum meluluskan enakmen anti lompat parti.