Lebih 24,000 mangsa banjir di enam negeri

Enam negeri yang dilanda banjir setakat ini mencatatkan lebih 24,000 mangsa banjir melibatkan 6,671 keluarga.

Berdasarkan laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah terkini mangsa banjir terus meningkat kepada 24,087 orang.

Setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 228 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa di Johor, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,415 daripada 5,947 keluarga dengan 182 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri itu.

Keadaan banjir di Johor setakat semalam dengan arus deras memaksa ribuan penduduk diarah berpindah ke PPS.

Antara daerah terjejas di negeri itu adalah Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Johor Bharu, Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

Sementara itu, Pahang merekodkan 1,429 mangsa termasuk 34 bayi daripada 382 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS.

Lima daerah digenangi bah iaitu Maran, Rompin, Raub, Jerantut dan Pekan.

Di Negeri Sembilan, 12 PPS dibuka dengan menempatkan 917 mangsa daripada 253 keluarga.

Daerah terjejas Tampin, Jempol dan Kuala Pilah.

Bagi Sarawak pula, empat PPS dibuka untuk 148 mangsa daripada 43 keluarga manakala hanya satu PPS dibuka di Sabah yang menempatkan 108 mangsa daripada 24 keluarga.

BACA JUGA Pemimpin PH Negeri Sembilan santuni warga emas, cakna nasib rakyat