Menteri Pendidikan tidak tolak kemungkinan benar cawangan parti politik di kampus

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak menolak kemungkinan akan membenarkan parti-parti politik menubuhkan cawangan mereka di dalam kampus sebagai salah satu usaha mereformasi sektor pendidikan.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan telah pun melonggarkan beberapa hal termasuk memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai parti politik sama ada di dalam dan di luar kampus.

“Seperti yang telah diumum, kita dah lakukan pelbagai pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melibatkan soal kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.

“Memang kita beri kebebasan kepada pelajar untuk menyertai parti politik sama ada di dalam atau di luar kampus termasuklah jika pelajar itu menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Jadi, semua perkara itu memang telah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara-perkara yang dicadangkan (YB Mersing),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (Mersing-PN) yang bertanya adakah kementerian akan memberi kelonggaran kepada parti politik untuk menubuhkan cawangan mereka di dalam kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudaya politik matang.

BACA JUGA Pembeli rumah pertama dapat manfaat Belanjawan 2023