Model gaji progresif ganti gaji minimum perlu kajian mendalam

Cadangan pelaksanaan Model Gaji Progresif (PWM) bagi menggantikan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 memerlukan satu kajian lebih mendalam sebelum dilaksanakan, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Buat masa ini katanya, pelaksanaan gaji progresif dan gaji minimum mempunyai objektif yang sama iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah.

“Cadangan pelaksanaan model gaji progresif yang disarankan adalah satu cadangan yang baik.

“Namun, ia memerlukan satu kajian yang lebih mendalam selaras dengan situasi ekonomi dan perburuhan semasa di negara kita,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri-menteri di sidang Dewan Rakyat hari ini

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (Pendang-PN) yang bertanya mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan pelaksanaan model gaji progresif di Malaysia.

Pada masa sama, Sivakumar memberitahu, kerajaan bersetuju menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, selepas menerima banyak rayuan daripada majikan pelbagai sektor.

Katanya, penangguhan tambahan selama enam bulan terhadap peniaga mikro yang mempunyai kurang lima pekerja diharap dapat memberikan peluang untuk majikan menyelaras dan mengimbang keperluan kewangan yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi.

BACA JUGA RUU Perkhidmatan Parlimen sedang dimuktamadkan