MTUC kecam majikan ambil buruh asing, buang pekerja tempatan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan syarikat yang membuang pekerja tempatan untuk digantikan dengan pekerja asing.

Reaksi itu susulan satu aduan yang diterima oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) membabitkan pemberhentian 102 pekerja tempatan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, terdapat syarikat yang mengambil kesempatan di atas kelonggaran pengambilan pekerja asing yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu industri.

“Laporan pembuangan pekerja tempatan di Pulau Pinang membuktikan kegusaran MTUC terhadap jaminan pekerjaan pekerja tempatan akan terjejas menjadi realiti.

“Isu pemberhentian pekerja secara tidak adil akan berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan, bagaimana kerajaan dapat memastikan pekerja tempatan tidak menjadi mangsa dalam keputusan syarikat berkaitan pemberhentian pekerja.

“Apakah imbangan kerajaan jika majikan menyatakan bahawa hak pengambilan dan pembuangan adalah hak syarikat?

“Majikan akan mencari justifikasi yang wajar bagi pembuangan pekerja tempatan.

“Alasan yang biasa digunakan adalah salah laku seperti ingkar arahan, prestasi kerja tidak memuaskan dan pelbagai alasan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul berkata amaran kerajaan untuk mengambil tindakan denda sebanyak RM50,000 terhadap majikan atau syarikat yang didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing, dilihat tidak akan menakutkan majikan.

Menurutnya, ia jelas apabila syarikat atau majikan juga tidak mengendah dan tidak melaksanakan perintah gaji minimum, Akta Kerja dan standard perumahan pekerja.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melakukan pemeriksaan berkala terhadap syarikat untuk memastikan majikan tidak mengamalkan diskriminasi.

“Amalan pemeriksaan berkala adalah langkah penting untuk memastikan segala akta perburuhan dipatuhi oleh majikan,” ujarnya.

Tambah beliau, MTUC turut menerima aduan ketidakpuasan hati pekerja tempatan yang melakukan kesalahan sama dengan pekerja asing tetapi hukuman kepada pekerja tempatan adalah berbeza dengan pekerja asing.

Oleh itu, katanya, MTUC tidak mahu kelonggaran kemasukan pekerja asing akan mendedahkan negara kepada amalan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Malah katanya, lebih membimbangkan, eksploitasi pekerja asing juga akan meningkat disebabkan kebanjiran pekerja asing di negara ini.

BACA JUGA Model gaji progresif ganti gaji minimum perlu kajian mendalam